Pahang hampa di Alor Setar

May 23, 2018

Gol jaringan ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar serta pemain tengah import Liridon Krasniqi sudah cukup untuk  meranapkan hasrat Pahang untuk mengutip 3 mata penuh bagi terus mendekatkan jarak mata dengan pendahulu liga dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam semalam.

Kehadiran dua pemain import baru iaiatu bekas pemain tengah Terengganu Issey Nakajima Ferran dan bekas penyerang Kelantan Augustine Iwuji Amutu gagal memberi impak yang diharapkan walaupun menguasai kebanyakkan masa perlawanan setelah kehilangan ayam tambatan mereka Muhamadou Sumareh serta pertahanan tengah Afif Amiruddin yang cedera.

Bagi menggantikan dua pemain tersebut, Dollah Salleh menurunkan Wan Zaharulnizam bagi menggantikan posisi Sumareh manakala Bunyamin Umar bergandingan dengan Muslim Ahmad di pertahanan tengah.

Perlawanan bermula agak perlahan apabila pemain kedua-dua pasukan lebih mengamalkan permainan berhati-hati dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.

Beberapa minit sebelum babak kedua tamat, Baddrol Bakhtiar berjaya menewaskan Helmi Eliza melalui sepakan percuma setelah Matthew Davies mengasari Andik Vermansyah di luar kotak penalti berhadapan gawang Pahang untuk menggembirakan penyokong pasukan tuan rumah.

Pahang kemudiannya mengubah taktikal dengan melakukan lebih banyak serangan namun trio serangan mereka yang diketuai oleh Patrick Cruz gagal menembusi pertahanan Kedah yang dikawal Khairul Helmi serta Syawal Nordin.

Peluang terbaik Pahang adalah melalui Amutu yang mana rembatannya dari luar kotak penalti terkena tiang walaupun Ifwat sudahpun tertewas.

Dikala Pahang asyik menyerang, Liridon mematikan sisa-sisa perjuangan pemain Pahang apabila menjaringkan gol kedua perlawanan pada minit ke 88 melalui gerakan satu serangan balas yang dimulakan oleh Akhtyar Rashid.

Kekalahan ini menyebabkan Pahang kekal di tangga ketiga liga gagal memintas Perak di tangga kedua walaupun mereka juga tewas di tangan Terengganu FC di Kuala Terengganu.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features