Pahang hidup peluang buru Naib Juara Liga Super

July 22, 2018

Gol jaringan Issey Nakajima akhirnya memberi kelegaan kepada pasukan Pahang setelah menang ke atas PKNS FC di Stadium Darul Makmur semalam sekaligus menamatkan rentetan seri 4 perlawanan berturut-turut dalam saingan Unifi Liga Super 2018.

Kemenangan yang dicari ini menhidupkan peluang kepada anak-anak buah Dollah Salleh untuk sekurang-kurangnya menamatkan Liga Super di tangga kedua setelah tinggal hanya satu perlawanan berbaki.

Kehadiran semula Muslim Ahmad dari kecederaan membolahkan Safuwan Baharuddin kembali bergandingan dengan Norazam di jentera tengah manakala Mohamadou Sumareh yang digantung sebelum ini kembali mengisi sayap kanan setelah Dollah Salleh terpaksa meletakkan Zuhair Aizat bermain di bahagan ini ketika di Melaka Rabu lalu.

Pahang juga kehilangan dua tonggak iaiatu Matthew Davies yang tidak cergas manakala Wan Zaharulnizam digantung satu perlawanan kerana mengutip kad kuning ketiga sebelum ini.

Pahang sepatutnya berada di depan setelah Iwuji Amutu menerima hantaran cantik dari Issey Nakajima tetapi tandukan beliau terus ke dakapan penjaga gol PKNS, Zarif Irfan.

Issey kemudiannya menceriakan penyokong tuan rumah setelah menanduk bola hasil hantaran Safuwan yang bijak menghukum kealpaan Zarif yang tidak dapat mengagak dengan tepat bola sepakan percuma Norazam untuk Pahang mendahului pada minit ke 26.

Bagaimanapun, Issey terpaksa dikeluarkan 4 minit kemudian kerana mengadu sakit dibahagian kakinya dan digantikan dengan pemain muda Shahrul Nizam.

Amutu kemudiannya patut menambah gol kedua Pahang apabila menerima satu hantaran dari Norshahrul tetapi Zarif berjaya menghalang bola itu dari menerjah jaring.

PKNS pula memperolehi peluang untuk menyamakan kedudukan melalui Bruno yang hanya berhadapan dengan Helmi setelah mendapat hantaran jauh dari Qayyum tetapi penjaga gol Pahang itu tangkas menghalang dan menafikan jaringan.

Kedudukan kekal 1-0 berpihak kepada tuan rumah untuk mengutip 3 mata penuh berharga yang dicari sekaligus memberi hadiah kepada penyokong yang hadir untuk perlawanan terakhir Liga di Stadium Darul Makmur.

Pahang akan bertemu Kelantan di tempat lawan untuk perlawanan terakhir manakala PKNS FC yang masih berpeluang mencabar kedudukan tempat kedua akan menjadi tuan rumah kepada Perak .


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features