Pahang ke Bukit Jalil

July 2, 2018

Dua gol jaringan masing-masing oleh Iwuji Amutu dan Norshahrul Idlan Talha sudah cukup untuk membawa Pahang ke perlawanan akhir Shopee Piala FA setelah menang 2-1 dalam perlawanan separuh akhir kedua yang diadakan semalam di Stadium Perak, Ipoh.

Keputusan ini membolehkan Pahang mara ke perlawanan akhir dengan agregat 3-2 untuk mengecewakan PKNP yang mengimpikan perlawanan akhir pertama mereka setelah mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala FA walaupun baru dibentuk 3 tahun lalu.

Untuk perlawanan ini, Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh kembali menyenaraikan Mohamadou Sumereh ke senarai kesebelasan utama manakala Patrick Cruz disisihkan kerana masih belum cergas selain peraturan yang mana hanya 4 pemain import dibenarkan bermain pada suatu masa.

Pertahanan kental, Afif Amiruddin yang sebelum ini terpaksa berehat selama 3 bulan kembali di bangku simpanan bersama Wan Zaharulnizam yang cemerlang menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Pahang yang memburu gol awal melakukan ancaman terlebih dahulu melalui penyerang importnya Iwuji Amutu setelah melakukan larian ke dalam kotak penalti namun pemain ini dijatuhkan untuk Pahang memperolehi sepakan percuma yang kemudiannya diambil Issey tetapi tersasar.

Amutu akhirnya memperolehi gol yang dicari-cari pada minit ke 32 apabila rembatan leretnya gagal ditepis keluar Asyraaf Omar setelah sebelum itu pertahanan PKNP dari Korea Sangwoo Kim gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

PKNP yang tersentak dengan jaringan itu lantas membuat satu pertukaran dengan mengeluarkan Alif Safwan untuk memasukkan Fandi Ahmad namun tiada tambahan jaringan dilakukan oleh kedua-dua pasukan.

Babak kedua menyaksikan PKNP lebih banyak menyerang setelah menyedari ketinggalan dari segi argregat dan banyak memberi ancaman ke pintu gol Pahangdan peluang terbaik mereka adalah tandukan dari Fandi Ahmad yang tidak dikawal namun Helmi sempat menepis bola tersebut yang kemudiannya mengenai palang sebelum dikeluarkan Issey.

Sebaliknya, Pahang menambah jaringan pada minit ke 75 setelah Norshahrul tenang mengawal bola setelah menerima hantaran Sumareh seterusnya bijak melakukan sepakan lambung untuk menewaskan Asyraaf yang sudah terkeluar dari posisinya.

PKNP bagaimanapun memperolehi gol saguhati 9 minit sebelum tamat masa sebenar setelah Franklin Anzite menyempurnakan sepakan penalti yang dianugerahkan pengadil setelah bola didakwa terkena tangan Safuwan di dalam kotak penalti.

Kemenangan ini bermakna Pahang akan bertemu Selangor di perlawanan akhir setelah Red Giant menewaskan PKNS FC dengan argregat 5-1 walaupun diikat pasukan tuan rumah 1-1 di Shah Alam.

Ini adalah perlawanan akhir untuk kali kedua berturut-turut Pahang setelah melakukannya pada 2017 namun tewas di tangan Kedah dengan keputusan 2-3 dalam perlawanan yang dijalankan di Stadium Shah Alam.

Perlawanan Akhir Shopee Piala FA 20a8 dijadualkan berlangsung pada 7 Julai 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features