Pahang kuburi hasrat di Kota Bharu

July 30, 2018

Hasrat Pahang untuk mengulangi prestasi musim lepas di tempat kedua Liga Super terkubur apabila tewas dengan pasukan di tangga tercorot Kelantan dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu semalam.

Hadir dengan ketiadaan perancang tengah Norazam Azih yang digantung perlawanan, Pahang menurunkan Salomon Raj bagi menggantikan Azam manakala Norshahrul bergandingan dengan Amutu di jentera serangan setelah Issey diketepikan kerana tidak cergas.

Di bahagian pertahanan pula Bunyamin masih diberi kepercayaan untuk bergandingan dengan Muslim manakala Faisal Rosli pula diberi peranan baru di sayap kiri manakala tempatnya diambil Zubir Azmi.

Sebaik wisel permulaan ditiupkan. Pahang cuba mencari gol awal dan sentiasa melakukan serangan bertali arus ke kubu Kelantan yang dikawal oleh Faridzuan Kamaruddin namun gagal sebaliknya Kelantan yang menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke 42 melalui Daniel Asyraf.

Gol itu berpunca dari gerakan antara Cristiano dan Haikal yang kemudiannya singgah di kaki Daniel yang seterusnya melakukan rembatan dari dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza.

Separuh masa kedua Pahang masih giat menyerang untuk memburu gol pernyamaan dan usaha itu berjaya akhirnya setelah Imuji Amutu menyambar bola hantaran lintang ketua pasukan Matthew Davies dari kiri pintu gol Kelantan.

Seorang lagi pemain muda Kelantan, Shafiq Shaharuddin menjadi duri dalam daging pertahanan Pahang apabila tenang mengawal bola menewaskan Muslim dan Bunyamin untuk menjaringkan gol kedua sekaligus gol kemenangan Kelantan pada malam itu.

Kemenangan ini melayakkan Kelantan untuk mengisi slot terakhir pasukan dari Liga Super yang beraksi di Unifi Piala Malaysia setelah mengutip 18 mata mengatasi Negeri Sembilan yang tewas dalam perlawanan terakhir mereka di Paroi pada Sabtu.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features