Pahang mengamuk di Darul Makmur

March 11, 2018

Pahang menunjukkan ‘gading’ mereka yang sebenar semalam apabila mudah membelasah Negeri Sembilan 4-0 dalam perlawanan Unifi Liga Super Malaysia di Stadium Darul Makmur semalam.

Dua jaringan masing-masing oleh gandingan penyerang import Pahang sudah cukup untuk mereka mengutip tiga mata penuh untuk terus menekan Johor DT di tangga teratas liga ketika ini.

Setelah disisihkan ketika menentang ATM di Piala FA akibat peraturan baru Piala FA yang hanya membenarkan 4 pemain import pada suatu perlawanan, Chan Vathanaka kembali mengisi kesebelasan utama manakala pemain lain kekal tidak berubah.

Pahang berjaya mencipta beberapa peluang sebaik wisel ditiupkan pengadil perlawanan melalui percubaan Cruz dan Doe tetapi penjaga gol Negeri Sembilan Ilham Amirullah kental bertahan.

Namun, pintu gol Negeri Sembilan bolos juga apabila Cruz pantas melakukan rembatan pada minit ke 26 setelah berlaku situasi kelam kabut di dalam kotak penalti pelawat hasil dari sepakan sudut Chan Vathanaka.

Seolah-olah perlawanan akan tamat dengan keputusan 1-0 sebelum perlawanan menuju rehat, Forkey Doe sempat menambah gol kedua untuk tuan rumah melalui rembatan di luar kotak penalti setelah menerima hantaran dari Safuwan Baharuddin.

Bersambung babak kedua, pada minit ke 66 Pahang terus menambah jaringan sekali lagi melalui Cruz yang bijak memperdayakan pertahanan Negeri Sembilan termasuk Ilham untuk menjadikan keputusan 3-0.

Forkey Doe kemudiannya menambah gol untuk malam gemilang Pahang setelah mudah menampan bola hantaran dari Faisal Rosli yang melakukan gerakan menarik bersama Wan Zaharulnizam di bahagian kanan  kotak penalti Negeri Sembilan.

Kemenangan ini melonjak Pahang ke kedudukan kedua mengambil alih tempat Terengganu FC yang tewas di Kuala Terengganu.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features