Pahang mudah benam MU tanpa Dollah

July 22, 2017

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Tanpa kelibat Dollah Salleh yang digantung 18 bulan, skuad Pahang tidak berdepan masalah mengutip mata penuh apabila mudah menewaskan Melaka United (MU) 2-0 di Stadium Darul Makmur, di sini, sebentar tadi.

Ketiadaan Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan jelas tidak menjejaskan moral pemain dalam memburu kemenangan selepas mempamerkan prestasi tidak menentu terutama seri 1-1 dengan T-Team pada aksi Piala Malaysia Selasa lalu.

Pada perlawanan malam tadi, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan pemain import kelahiran Argentina, Yamil Romero yang menewaskan penjaga gol MU, Mohamad Firdaus Muhamad seawal minit keempat.

Selepas itu, skuad Tok Gajah menggandakan asakan ke kubu lawan bagi mengukuhkan kedudukan ketika MU lebih banyak bertahan.

Peluang terbaik Pahang hadir menerusi pemain tengah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria tetapi bola sepakannya melepasi palang gol pada minit ke-34.

Dua minit kemudian, penyerang import MU, Marko Simic berjaya menjaringkan gol penyamaan tetapi pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali membatalkan jaringan itu kerana ofsaid.

Kesungguhan pasukan pelawat untuk mencari gol penyamaan tidak kesampaian apabila keputusan 1-0 kekal pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Pahang tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Mohamadou Sumareh muncul penjaring kedua buat skuad itu pada minit ke-52.

Biarpun MU sedaya upaya cuba memecah kubu tuan rumah, pelawat akur mereka gagal untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata ketika tuan rumah kembali mencatat kemenangan.

Berita asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features