Pahang sediakan RM20 juta buru trofi

January 28, 2018

Oleh : Nik Sukry Ramli

TEMERLOH: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menyediakan peruntukan kira-kira RM20 juta bagi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, peruntukan itu merangkumi penajaan pasukan selain kos mendapatkan pemain import baharu dari Argentina dan Brazil.

“Perbelanjaan musim ini agak besar iaitu kira-kira RM20 juta kerana kita mahu muncul sebagai pencabar utama dan kita juga meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu piala.

“Tidak kisahlah piala apa….Piala Malaysia ke…..Piala FA ke….asalkan ada piala dan ini adalah cabaran kepada pasukan memandangkan kita mempunyai rekod baik dalam saingan liga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Jersi Pasukan dan Barisan Pemain Skuad Pahang Musim 2018 di Dewan Tun Razak, dekat sini, petang tadi.

Turut hadir, Naib Presiden PBNP, Datuk Seri Zamry Ramly; Pengurus Pahang, Datuk Sufian Awang dan Ketua Jurulatih, Dollah Salleh.

Pada majlis itu, Pahang memperkenalkan tiga jersi baharu iaitu warna kuning dan biru untuk perlawanan di laman sendiri, jersi putih untuk perlawanan di tempat lawan dan jersi warna hitam sebagai jersi alternatif.

Pahang turut menampilkan empat pemain import baharu bagi saingan musim ini iaitu Sergio Ezequil Unrein dari Argentina; Alex De Moraes Gomes dari Brazil; Chan Vathanaka dari Cambodia dan pemain import bagi kuota Asean, Muhammad Safuwan Baharudin dari Singapura.

Sementara itu, Dollah berkata, saingan musim ini dilihat cukup hebat berbanding musim lalu kerana semua pasukan bersaing tampil dengan barisan terbaik masing-masing.

“Kita percaya pasukan ini boleh memberikan saingan dalam Liga Super musim ini. Kita juga mempunyai barisan pemain yang bagus.

“Saya berharap dua tenaga import baharu kami, Ezequil Unrein dan Moraes Gomes dapat menemui rentak dan membantu pemain import sedia ada seperti Mohamadou Sumareh untuk memberikan cabaran kepada pasukan lain.

“Kehadiran pemain seperti Chan Wathanaka juga kita harap boleh memberi impak kepada pasukan, begitu juga dengan Muhammad Safuwan Baharudin..

“Kita sudah membuat persiapan sebaik mungkin termasuk aksi pramusim sebelum ini dan saya yakin mereka boleh tampil dengan aksi terbaik apabila saingan Liga Super bermula,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features