Pahang singkir juara bertahan untuk ke suku akhir

March 18, 2018

Juara bertahan, Kedah tersingkir dalam saingan Shopee Piala FA 2018 apabila disingkirkan lawan mereka pada perlawanan akhir musim lepas Pahang dalam saingan mendebarkan di Stadium Darul Makmur semalam.

Walaupun begitu, kemenangan Pahang ini terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila penyerang import tambatan mereka, Forkey Doe mengalami kecederaan serius sehingga dikeluarkan dari permainan pada awal babak pertama perlawanan.

Chan Vathanaka tidak diturunkan pada kali ini setelah peraturan FMLLP yang hanya membenarkan 4 pemain import boleh bermain pada satu-satu masa dan digantikan dengan Wan Zaharulnizam di bahagian sayap.

Afif Baharuddin yang dikhabarkan cedera tetap diturunkan untuk bergandingan dengan Muslim Ahmad di bahagian pertahanan setelah cemerlang musim ini sejak kali pertama bermain bersama dalam perlawanan menentang Selangor.

Pahang yang bermula garang sejak sepak mula berjaya mengancam Ifwat di gawang gol Kedah setelah Patrick Cruz melakukan rembatan dari dalam kotak penalti tetapi dihalang oleh pertahanan Kedah.

Sumareh kemudiannya menggamatkan penyokong tuan rumah yang memenuhi setiap ceruk stadium apabila berjaya menanduk gol tunggal perlawanan sejurus sebelum pemain kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan.

Gol berpunca dari sepakan percuma Nor Azam yang berjaya hinggap ke kepala Cruz tetapi terkena palang dan bola melantun ke Sumareh yang melakukan tandukan terbang di dalam gol ketika Ifwat sudahpun tertewas.

Kedah kemudiannya mengatur kembali permainan setelah untuk mencari gol pernyamaan dan nyaris memperolehinya apabila Afif tertampan bola cubaan Syazwan Zainon ke dalam gol sendiri tetapi mujur Helmi Eliza sempat menguis keluar.

Pahang kemudiannya memperolehi beberapa peluang melalui pemain gantian, Faisal Halim yang menggantikan Wan Zaharulnizam yang cedera tetapi kegugupannya menyebabkan tiada gol berjaya ditambah.

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat dan keputusan ini lebih bermakna apabila turut diraikan oleh DYMM Sultan Pahang yang juga mencemar duli bermesra dengan peminat sebaik tamat perlawanan.

Pahang akan menyertai 7 lagi pasukan iaitu PKNP FC, PKNS FC, Johor DT, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Felda United yang menang dengan lawan masing-masing pada Jumaat dan Sabtu.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features