Pahang tagih khidmat Safuwan, Azam

August 27, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh meluahkan kebimbangannya terhadap tahap kecederaan yang dialami pemain pertahanan, Safuwan Baharudin hingga terpaksa dikeluarkan pada perlawanan menentang PKNP FC, kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kecederaan lutut kanan pemain Singapura itu diharap tidak serius kerana khidmatnya amat diperlukan pada pertemuan dengan Selangor, Sabtu ini.

“Saya akui khidmat Safuwan di bahagian tengah amat diperlukan kerana dia adalah tonggak utama dalam membantu jentera serangan dan pertahanan.

“Pada masa sama, kecederaan hamtring yang dialami seorang lagi pemain tengah, Nor Azam Azih juga belum sembuh.

“Namun, saya mengharapkan tempoh lima hari ini akan membolehkan mereka pulih untuk memastikan Pahang menang ke atas Selangor sekali gus mengisi slot suku akhir Piala Malaysia,” katanya.

Mengulas kehadiran semula R Kogileswaran dan Mohd Faisal Halim yang sebelum ini mewakili skuad bawah 23 tahun (B-23) di Sukan Asia Jakarta Palembang, beliau jelas tidak bimbang dengan prestasi dua pemain muda itu.

Sebaliknya, keutamaan ketika ini adalah untuk memperkasakan jentera serangan yang tumpul.

“Saya akui khidmat Kogileswaran dan Faisal amat diperlukan pasukan tetapi yang menjadi tumpuan adalah memastikan Tok Gajah lebih berbisa di bahagian serangan,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features