Pahang tanpa Safuwan, Sumareh layan Tambadau

August 22, 2019

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengesahkan dua pemain utama skuad itu tidak dapat disenaraikan apabila berdepan Sabah di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.  

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, dua pemain itu ialah pemain tengah, Mohamadou Sumareh dan Safuwan Baharudin, masing-masing mengalami kecederaan dan penggantungan.  

“Biarpun ketiadaan dua pemain ini memberi kesan terhadap jentera pasukan, ia tidak menyekat misi Pahang untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri.  

“Sudah pasti jentera tengah akan mengalami perubahan kerana Sumareh dan Safuwan tidak dapat beraksi tetapi saya tidak berasa bimbang dengan situasi itu.  

“Dengan prestasi semasa dilihat positif selepas tiga perlawanan, Pahang akan pastikan kemenangan memihak kepada pasukan,” katanya.  

Dollah turut mengakui skuad kendalinnya itu hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia.  

Namun katanya, anak buahnya tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian semasa kerana saingan piala itu masih berbaki tiga perlawanan.  

“Oleh itu, fokus utama pemain ialah mengekalkan prestasi dan tidak membenarkan lawan menguasai permainan,” katanya.  

Dalam Kumpulan C, skuad Tok Gajah memungut sembilan mata diiikuti Perak dan Pulau Pinang, masing-masing berkongsi empat mata manakala Sabah pula masih gagal mengutip sebarang mata selepas tiga perlawanan.

Artikel Asal : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/08/598855/pahang-tanpa-safuwan-sumareh-layan-tambadau


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(PM6)
Malaysia Cup
Penang State Stadium, BATU KAWAN