Pahang tekad pertahan tangga kedua liga

July 7, 2019

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur malam tadi, mengubat kekecewaan gagal layak ke final Piala FA musim ini.  

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kebangkitan dipersembahkan pemainnya meletakkan Pahang kembali pada prestasi sebenar.  

“Bagi saya, apa yang berlaku selepas kami gagal ke final Piala FA, tewas 3-4 kepada Perak sebagai sejarah hitam buat skuad Pahang. 

“Walaupun kemenangan malam ini seolah tiada makna, tetapi ia memberi motivasi bagi menyaksikan kebangkitan Pahang, terutamanya fokus dalam saingan Piala Malaysia selepas ini. 

“Sebab itu, sebelum perlawanan saya bertemu semua pemain secara individu dan meminta mereka mengubah sikap dan fokus dalam baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya.  

Mengulas kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur, Dollah lega apabila anak buahnya kembali mempamer prestasi memuaskan.  

Katanya, kemenangan itu membuka ruang kepada skuad Tok Gajah mempertahankan kedudukan kedua dalam carta Liga Super.  

“Secara keseluruhannya, kami menguasai 70 peratus perlawanan dan mencipta banyak peluang, cuma dua gol berjaya dihasilkan.  

“Saya harap komitmen pemain dapat dikekalkan pada empat baki perlawanan liga selepas ini,” katanya.  

Pada perlawanan itu, dua gol, masing-masing satu dijaringkan oleh pemain pertahanan import, Herold Goulon pada minit ke-57 dan Nor Azam Azih minit ke-93.

Artikel Asal : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/07/582113/pahang-tekad-pertahan-tangga-kedua-liga


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(LS15)
Super League
Darul Makmur Stadium, KUANTAN

(LS22)
Super League
Darul Makmur Stadium, KUANTAN