Pahang tidak pamer kemampuan sebenar – Dollah

March 5, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Dollah Salleh mengakui Pahang tidak beraksi pada tahap terbaik ketika menang 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pusingan kedua Piala FA, malam tadi.

Pengendali Pahang itu berkata, sikap mengambil mudah pertemuan dengan ATM itu menyebabkan hanya dua gol, masing-masing satu gol pada separuh masa mampu dihasilkan.

Katanya, pada keseluruhannya, corak permainan dipersembahkan skuad Tok Gajah jauh berbeza tidak seperti ditunjukkan ketika menang 3-1 ke atas Selangor dalam saingan Liga Super.

“Pemain begitu ambil mudah hingga pasukan tidak dapat mempamerkan persembahan terbaik dan menjaringkan lebih banyak gol.

“Namun, ia tidak bermakna prestasi pasukan tidak bagus kerana pemain tidak dapat mengikut rentak seperti diharapkan hingga memberi kesan terhadap corak permainan.

“Tapi, saya tetap percaya Pahang akan mencatat kemenangan tetapi bukan dengan persembahan yang dipamerkan seperti malam ini (malam tadi),” katanya.

Mengulas gol penyamaan ATM pada separuh masa kedua, beliau tidak bimbang kerana percaya dengan kemampuan anak buahnya itu untuk memastikan kemenangan buat skuad Tok Gajah.

“Apa yang penting kemenangan berpihak kepada Pahang dan kembali fokus untuk aksi Liga Super bertemu Negeri Sembilan Sabtu ini,” katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol tuan rumah masing-masing dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha dan Safuwan Baharuddin pada minit ke-34 dan 74 manakala gol ATM dijaringkan Zaironi Yusof.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features