Pahang yakin duduki tempat kedua Liga Super

August 7, 2017

Oleh : Asrol Awang
KUANTAN: Pemangku jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi optimis skuad kendaliannya mampu menamatkan saingan Liga Super musim ini di tempat kedua.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan 2-1 ke atas Kedah malam tadi, sangat bermakna selepas aksi tidak konsisten dipersembahkan skuad Tok Gajah sebelum ini.

Katanya, kemenangan besar 6-0 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dalam saingan Piala Malaysia menyuntik semangat pemainnya untuk mengekalkan rentak cemerlang.

“Saya puas hati dengan kemenangan ini dan bermakna kita dapat merapatkan jurang mata dengan Kedah (perbezaan satu mata) dalam memburu kedudukan kedua liga musim ini.

“Dengan baki tiga lagi perlawanan serta rehat sebulan selepas ini, saya akan pastikan prestasi pasukan jauh lebih baik dan dapat teruskan rentak kemenangan dalam ketiga-tiga aksi itu,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, gol Pahang dijaringkan Yamil Romero dan Matheus Alves, masing-masing pada minit ke-64 dan 80, manakala gol tunggal Kedah disumbangkan Shafiq Ahmad.

Sementara itu, jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff berkata, kesilapan barisan pertahanan menjadi faktor di sebalik kekalahan Helang Merah.

Katanya, kekalahan itu diharap memberi pengajaran terbaik kepada pemain dalam misi mengekalkan kedudukan di tangga kedua musim ini.

“Kita ada baki tiga lagi perlawanan selepas ini, dua daripadanya di laman sendiri.

“Jadi, kalau nak kekal di tangga kedua liga, kita perlu menang semua baki perlawanan itu,” katanya.

Berita asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features