Pasukan Pahang Timur dan Pahang Tengah isi slot separuh akhir

October 14, 2018

Pasukan dari Pahang Tengah dan Pahang Timur mengungguli Kejohanan Piala KYDMM Sultan Pahang apabila dua pasukan mereka layak ke separuh akhir setelah berakhir perlawanan peringkat kumpulan semalam.

Dua wakil dari Pahang tengah iaitu Temerloh dan Jerantut serta wakil dari Pahang Timur (Kuantan dan Pekan) mengesahkan tempat setelah menjadi Juara dan Naib Juara kumpulan masing-masing setelah berkampung selama seminggu di dua daerah tuan rumah Bentong dan Muadzam Shah.

Dalam perlawanan kumpulan A yang berlangsung di Muadzam Shah, Pasukan Kuantan ternyata bukan tandingan pasukan lain apabila mencatat 100 peratus kemenangan untuk mengutip maksimum 15 mata untuk menjuarai kumpulan A.

Kuantan bermula dengan kemenangan membelasah Rompin 6-2 dan kemudiannya mencatat 4 lagi kemenangan setelah menang ke atas Raub (4-0), Muadzam Shah (3-2), Jerantut (4-1) dan Maran (1-0).

Jerantut muncul kedua setelah mengumpul 8 mata setelah mencatat 2 kemenangan dan 2 seri  1 kalah mengatasi Rompin di tempat ketiga hanya berbeza 1 mata.

Sementara itu di Bentong untuk perlawanan Kumpulan B, saingan sengit diantara 4 pasukan iaitu Temerloh, Pekan, Lipis dan Bentong menyaksikan Temerloh lebih unggul untuk mengatasi semua pasukan setelah mengutip 11 mata hasil dari 3 kemenangan dan 2 kali seri.

Temerloh mengatasi Pekan dengan keputusan 2-1, Cameron Highland (3-2) dan Bera (2-1) tetapi seri dengan Lipis dan Bentong dengan keputusan 2-2 untuk menjuarai kumpulan B.

Naib Juara direbut Pekan setelah mengutip 9 mata setelah mencatat 3 kemenangan dan 2 kekalahan mengatasi Lipis di tempat kedua dengan 8 mata yang mencatat 2 kemenangan, 2 seri dan 1 kekalahan.

Perlawanan separuh akhir akan menemukan Kuantan selaku Juara Kumpulan A menentang Pekan (Naib Juara Kumpulan B) serta Temerloh (Juara Kumpulan B) menentang Jerantut (Naib Juara Kumpulan A) dengan diadakan secara timbal balik di kedua-dua daerah yang layak.

Jadual perlawanan akan diumumkan dalam masa terdekat.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features