PBNP harap kompromi FAM

July 30, 2018

Oleh : Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengharapkan kompromi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung rayuan untuk mereka beraksi di pusingan kedua kelayakan Liga Juara Juara (ACL) musim depan.

Pengurus pasukan, Datuk Suffian Awang percaya, badan induk itu mampu memikirkan resolusi yang terbaik dan dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada pasukan terbabit yang berdepan hukuman penggantungan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selama dua musim.

“Ini bukanlah soal mahu (beraksi) atau tidak tetapi kita ada peraturan dan prosedur yang perlu dipatuhi dan kami juga mahukan masalah ini supaya dapat diatasi segera.

“Jadi, perlu ada kompromi daripada kedua belah pihak dan kami mengharapkan maklum balas rasmi daripada FAM mengenai isu ini supaya kami dapat mengambil tindakan selanjutnya.

“Apapun, kami belum mengemukakan surat rayuan kerana kami masih menunggu makluman rasmi daripada FAM yang menyatakan mereka dapat mempertimbangkan kelayakan Pahang untuk ke ACL dan tindakan sewajarnya yang boleh PBNP ambil untuk membuat rayuan,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian Piala Malaysia di Damansara Perdana, hari ini.

Selaku juara Piala FA, skuad Tok Gajah memperoleh satu slot ke saingan tertinggi benua Asia itu apabila akan beraksi di pusingan kedua kelayakan selepas Malaysia mendapat slot 1+1 daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2019 dan 2020.

Namun, pasukan itu tidak dibenarkan memohon lesen AFC selama dua tahun daripada FAM susulan keengganan mereka untuk mewakili negara ke saingan Piala AFC musim ini.

Larangan itu membabitkan permohonan tahun depan dan 2020 sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh itu tidak akan mewakili negara ke ACL bagi musim 2019 dan 2020.

Sekiranya Pahang tidak berminat untuk menyertai pusingan kelayakan itu ataupun rayuan mereka ditolak Lembaga Disiplin FAM, slot terbabit akan diberikan kepada Perak selaku naib juara Liga Super.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features