PBNP kekalkan harga tiket

January 26, 2017

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengekalkan harga lama tiket bagi peminat skuad Pahang untuk semua perlawanan Liga Malaysia di Stadium Darul Makmur musim ini.

Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim ketika mengesahkan perkara itu berkata, ia sebagai penghargaan kepada peminat setia yang selama ini memberikan sokongan berterusan kepada skuad Tok Gajah.

Bagi tiket pentas utama, ia dijual pada harga RM25; berbumbung (RM15) manakala tempat duduk terbuka dijual dengan harga RM12.

“PBNP mengharapkan sokongan padu peminat untuk terus menyokong dan menyaksikan pasukan kesayangan mereka yang kini dibimbing Dollah Salleh beraksi di stadium.

“Bagi perlawanan Pahang dengan T-Team Jumaat ini, tiket mula dijual pada hari perlawanan bermula jam 10 pagi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau turut meminta penyokong Pahang mempamerkan disiplin tinggi sepanjang berada di dalam atau luar stadium dan tidak terbabit dalam insiden yang boleh mencalar imej pasukan dan PBNP.

“Dengan perubahan besar yang dilakukan musim ini, kita sememangnya mengharapkan sokongan peminat untuk membantu Pahang kembali berada pada prestasi terbaik,” katanya.

Musim lalu, Pahang yang pernah bergelar juara Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun 2014 gagal menyerlah selepas hanya menyandarkan harapan kepada barisan pemain muda.

Berita asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features