Penalti Cabrera kecewakan Pahang

June 13, 2018

Tendangan penalti Gonzalo Cabrera semasa masa tambahan separuh masa kedua mengecewakan Pahang apabila terpaksa akur tewas 1-2 di tangan Johor DT dalam saingan Unifi Liga Super Malaysia di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Gol itu melenyapkan jaringan pernyamaan oleh Issey Nakajima 5 minit sebelum itu untuk Johor DT terus gah menakluki puncak liga dengan perbezaan 11 mata dengan saingan terdekat Perak.

Pahang yang kehilangan dua tonggak tengah utama mereka iaitu Safuwan Baharuddin dan Nor Azam Azih akibat penggantungan  melakukan beberapa pertukaran untuk memburu 3 mata penuh dengan memasukkan R Dinesh dan Salomon Raj di bahagian tengah manakala Norshahrul Idlan kembali mengisi kesebelasan utama menggantikan Kogileswaren yang tidak disenaraikan kerana tidak cergas.

Perlawanan yang seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan pada 10 minit terawal dengan Johor DT terlebih dahulu mengancam kubu Pahang melalui Cabrera yang melakukan rembatan tersasar dari gol Pahang setelah menerima hantaran Safawi Rashid.

Pelawat bagaimanapun membuka jaringan melalui Fernando Marquez di minit ke 33 setelah menanduk bola berpunca dari sepakan percuma dari Safawi Rashid untuk Johor DT kekel mendahului sehingga tamat separuh masa pertama.

Pahang melakukan pertukaran taktikal apabila memasukkan Zubir Azmi sebaik separuh masa kedua bermula dan nyata strategi itu mengubah sedikit persembahan dengan Pahang kembali mengancam kubu Johor DT yang dikawal Farizal Marlias.

Faisal Halim yang masuk menggantikan R Dinesh nyaris menjaringkan gol pernyamaan Pahang setelah sekali lagi melakukan larian solo menewaskan beberapa pemain pertahanan tetapi Farizal Marlias lebih bersedia untuk menghalang gawangnya dari dibocori.

Usaha Pahang terhasil pada minit ke 85 apabila Issey Nakajima menceriakan penyokong tuan rumah setelah menyudahkan hantaran seorang lagi pemain gantian Shahrul Nizam untuk keputusan menjadi terikat 1-1.

Ketika permainan masuk ke masa tambahan, Johor DT di anugerahkan sepakan penalti setelah Helmi Eliza menjatuhkan Hazwan Bakri di dalam kotak penalti dan Gabriel Cabrera tidak bermasalah untuk menewaskan Helmi Eliza untuk Johor DT kembali mendahului 2-1.

Keputusan kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat dan kemenangan ini bermakna Johor DT menghampiri kejuaraan liga untuk kali ke 5 berturut-turut setelah menjauhkan jurang mata dengan pasukan-pasukan lain dengan perlawanan hanya tinggal 6 perlawanan berbaki.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features