Perak ikat Pahang di Kuantan

February 4, 2018

Naib Juara Liga Super 2017, Pahang diikat Perak tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan kedua-dua pasukan dalam saingan Unifi Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Dollah Salleh melakukan kejutan apabila tidak menurunkan penyerang importnya dari Argentina Sergio Unrein dalam kesebelasan utama sebaliknya memilih Norshahrul Idlan Talha bergandingan dengan R Kogileswaren.

Bahagian sayap diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain import iaitu Chan Vathanaka dan Mohamadou Sumareh manakala Nor Azam dan Safuwan mengemudi bahagian tengah.

Permainan yang seimbang di antara kedua-dua pasukan diperlihatkan pada separuh masa pertama dan penyerang kedua-dua pasukan sering menguji penjaga gol lawan masing-masing namun tiada jaringan dihasilkan.

Pahang memperolehi peluang keemasan pada minit ke 47′ setelah Matthew berjaya melakukan hantaran lintang ke hadapan pintu gol Perak namun Norshahrul gagal menanduk kemas ke dalam pintu gol walaupun ketika itu tiada pemain Perak yang lain mengawalnya.

Dollah kemudian melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan Unrein pada minit ke 69 tetapi tiada jaringan yang berjaya dilakukan oleh pasukan tuan rumah.

Sebaliknya, Perak berjaya melakukan beberapa percubaan yang boleh menghasilkan gol kemenangan antaranya melalui Gilmar yang mendapat situasi satu lawan satu dengan penjaga gol tetapi mujur Muslim berjaya memintas.

Kedua-dua pasukan terus buntu menghasilkan gol sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan dan perlawanan berakhir dengan tiada jaringan dihasilkan antara kedua-dua pasukan.

 


Comments

  1. Temerlove - February 5, 2018 at 12:58 am

    Taktik lapuk .. lambung kejar .. orang dah boleh baca .. hantar ke sumareh.. davies tukang lambung .. point dia lambung kejar .. kalau terus taktik mcm ni memang sakit lawan jdt Selangor kedah nanti ..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features