Piala AFF: Mat Yo mampu bentuk gandingan berbisa dengan sesiapapun

October 8, 2018

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, memberi jaminan Norshahrul Idlan Talaha mampu menyerlah dalam saingan Piala Suzuki AFF biarpun gandingan mantap 2010, Safee Sali, tiada dalam perancangan Tan Cheng Hoe bagi edisi kali ini.

Selepas menyepi sekian lama daripada pentas antarabangsa, nama Norshahrul atau Mat Yo kembali mendapat perhatian pengendali kebangsaan bagi persediaan Piala AFF, bulan depan.

Ditanya adakah Mat Yo masih releven meskipun ketiadaan gandingan utamanya di peringkat kebangsaan itu, Dollah pantas menyangkal keberkesanan Mat Yo bergantung kepada individu lain.

Katanya, keberkesanan Mat Yo mampu berlaku dengan sesiapa sahaja, ditambah pula dengan prestasinya yang sedang meningkat ketika ini.

“Saya percaya Mat Yo tidak akan berdepan masalah untuk bergandingan dengan sesiapapun.

“Saya percaya Mat Yo boleh membentuk gandingan mantap di samping Akhyar Rashid dan Safawi Rasid,” ujar Dollah.

Ditambah dengan keberkesanan Mat Yo dengan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, tugasan Cheng Hoe dijangka akan lebih mudah.

“Masing-masing mempunyai  keupayaan tersendiri, cuma kita tidak mempunyai bisa di depan gol seperti yang dipamerkan Safee sebelum ini,” tambahnya.

Mat Yo bersama Safee pernah mencipta fenomena dalam edisi 2010 hingga dilabel sebagai watak penting yang membawa Malaysia menjulang kejuaraan ketika itu.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features