Piala FA: Tok Gajah ‘hempap’ JDT II di Pasir Gudang

February 14, 2017

Oleh : Rizar Mohd Noor

PASIR GUDANG: Pahang dipaksa bermandi peluh sebelum mara ke pusingan ketiga apabila bangkit menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), 4-2 pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, malam tadi.

Walaupun tuan rumah hanya mempertaruhkan Alex Smith selaku pemain import tunggal dalam perlawanan itu, barisan pemain muda skuad Merah Biru masih mampu mengimbangi kekuatan skuad kendalian Dollah Salleh.

Dengan mempertaruhkan barisan pemain muda oleh pengendali Mohd Hamzani Omar, nyata memberi ancaman kepada skuad Tok Gajah pada minit ke-14 selepas bola umpanan Ramzi Haziq Mohamed tepat kepada Syahrul Azwari Ibrahim, tetapi dirembat tinggi.

Selepas mengasak bertubi-tubi, tuan rumah akhirnya menggegarkan jaring apabila bola umpanan Rozaimi Abdul Rahman membuka ruang buat Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menolak mudah untuk menewaskan penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh.

Selang tiga minit, Muhammad Hadi Fayyadh yang berusia 17 tahun mencipta gol kedua peribadi apabila memperdaya pertahanan pelawat, Heo Jae-won sebelum menolak bola leret menewaskan Wan Azraie untuk meletak tuan rumah selesa 2-0.

Pelawat yang tersentap cuba bangkit merapatkan jurang dan seminit sebelum babak pertama ditamatkan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria terlepas peluang apabila sepakan percuma dari jarak 20 meter melepasi palang gol.

Sebaik babak kedua bersambung, pelawat mendapat gol semangat yang dicari-cari selepas Mohamadou Sumareh bijak menggunakan kesempatan ketika bola gagal ditepis kemas penjaga gol JDT II, Samuel Sommervile.

Asakan berterusan anak buah Dollah nyata mengucar-kacirkan benteng tuan rumah apabila gol penyamaan menjelma pada minit ke-67 hasil tandukan Wan Zaharulnizam yang pantas disambar Sumareh, untuk mengikat kedudukan 2-2 dan kekal ke masa tambahan.

Ketika aksi memasuki minit ke-104 masa tambahan, Mathues Leandro menanduk masuk menewaskan Sommerville, manakala gol Salamon Raj mematikan sisa perjuangan tuan rumah pada minit ke-109, sekali gus memberi skuad Tok Gajah kemenangan 4-2.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features