Piala Malaysia 2019: Mereka Berdua Suka ‘Cakap’ Dengan Pengadil, Jadi Saya Rehatkan

September 19, 2019

Oleh :  Al-Zaim Arzaman

Dalam sidang media sejurus aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia 2019 menentang Pulau Pinang, malam tadi, pengendali Pahang, Dollah Salleh menafikan sengaja merehatkan beberapa pemain utama sebagai persediaan untuk peringkat suku akhir.

Dalam perlawanan tersebut, beberapa tonggak utama pasukan seperti Matthew Davies, Mohamadou Sumareh, Lazarus Kaimbi dan Dickson Nwakaeme tiada dalam kesebelasan utama malah ada yang tiada juga dalam senarai pemain di bangku simpanan.

“Sebenarnya, saya memerlukan (Mohamadou) Sumareh dan Dickson (Nwakaeme) dalam perlawanan malam ini,” tuturnya yang berjaya membawa Tok Gajah menjadi pasukan pertama yang mengesahkan tiket ke suku akhir selepas empat perlawanan.

“Tetapi disebabkan kedua-duanya menerima dua kad kuning, jadi kita tidak mahu ambil risiko. Nanti kedua-duanya tidak dapat beraksi (di suku akhir) sebab mereka berdua suka ‘bercakap’ dengan pengadil, jadi mudah untuk mereka dilayangkan kad kuning,” jelasnya mengenai kedua-dua pemain sambil tertawa.

Dalam aksi terakhir kumpulan yang telah berlangsung di Stadium Bandaraya, Pahang berjaya menundukkan Pulau Pinang dengan keputusan 2-0 hasil jaringan pertahanan tengah, Herold Goulon dan jaringan sendiri pertahanan Harimau Kumbang, A. Segar.

Pahang tampil dengan beberapa perubahan pemain antaranya kemasukkan R. Kogileswaran, Wan Zaharulnizam, Zuhair Aizat dan Ashar Al Aafiz disamping mengekalkan beberapa pemain utama seperti Helmi Eliza Elias, Zubir Azmi serta Muslim Ahmad.

Bergelut dalam 30 minit pertama, anak didik Dollah Salleh akhirnya berjaya menyesuaikan diri selepas diasak bertubi-tubi oleh tuan rumah sebelum Herold Goulon membuat kejutan dengan membawa bola dari tengah untuk menewaskan Zamir Selamat.

Bercakap mengenai aksi suku akhir menentang Melaka United selepas ini, pengendali berusia 55 tahun itu menegaskan yang Pahang perlu serius dan cuba mengembalikan semula prestasi pemain agar keputusan seperti menentang Perak tidak berlaku.

“Saya mengharapkan selepas dua perlawanan (Perak dan Pulau Pinang), kita akan kembali mendapat semula sentuhan kita.

“Tiga minggu sebelum ini, pemain kebangsaan pun lapor diri di Perak dan saya sendiri tidak bersama pasukan, hanya dua tiga hari bersama pasukan. Jadi dekat situ nampak terumbang ambing kita punya persiapan. Kita juga tiada perlawanan persahabatan (semasa rehat perlawanan antarabangsa),” jelas Dollah Salleh.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baharu mengumumkan jadual suku akhir pertama di mana Melaka United akan melayan kunjungan juara edisi 2013 dan 2014, Pahang di laman sendiri pada Ahad ini.

Artikel Asal : https://semuanyabola.com/piala-malaysia-2019-mereka-berdua-suka-cakap-dengan-pengadil-jadi-saya-rehatkan/


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(PMS1)
Malaysia Cup
Darulaman Stadium, ALOR SETAR

(PMS2)
Malaysia Cup
Darul Makmur Stadium, KUANTAN