PJ City sekat hajat Pahang

April 8, 2019

Hasrat Pahang untuk kembali menerajui takhta liga yang dirampas Johor DT pada Jumaat lalu lebur apabila dipaksa berkongsi mata dengan PJ City dalam perlawanan Liga Super yang dilangsung di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Walaupun menguasai hampir sepenuhnya perlawanan, Pahang gagal menembusi kubu PJ City yang diketuai Elizeu Batista ditambah kecemerlangan penjaga gol pelawat Muhaimin Muhammad.

Dolah Salleh yang mendapat pelepasan menyertai pasukan pada malam itu kerana perlu menghadiri kursus Lesen Diploma Profesional AFC yang dijalankan di Kuala Lumpur menurunkan pemain yang sama ketika menang dengan PIB FC kecuali Faisal Halim yang digantikan dengan Mohamadou Sumareh.

Ze Love cuba menewaskan penjaga gol PJ City Muhaimin Mohamad.

Dickson Nwakaeme yang dikatakan tidak cergas berada di bangku simpanan bersama pemain import dari Indonesia Saddil Ramdhani.

Pahang mengasak PJ City sebaik wisel permainan dimulakan oleh pengadil perlawanan melalui gandingan Norshahrul Idlan dan Ze Love malangnya tiada gol diperolehi.

Sebaliknya, PJ City yang terlebih dahulu mendahului pada minit 33 apabila Safee Sali bijak melepasi perangkap offside pertahanan Pahang sebelum melakukan bola lambung melepasi Helmi Eliza yang sudahpun terkeluar dari posisi.

Pahang yang mahu memburu kemenangan memasukkan Dickson Nwakaeme ketika separuh masa kedua bermula menggantikan Zuhair Aizat untuk menajamkan lagi bahagian serangan mereka.

Matthew Davies mengasak pemain PJ City.

Asakan bertali arus Pahang akhirnya membuahkan hasil apabila Ze Love menjaringkan gol hasil dari sepakan percuma dari luar kotak penalti menewaskan Muhaimin untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat masa penuh permainan menyaksikan Pahang hanya kekal di tangga kedua ketinggalan 2 mata dibelakang Johor DT.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(PM4)
Malaysia Cup
Darul Makmur Stadium, KUANTAN

(PM5)
Malaysia Cup
Perak Stadium, IPOH