Dollah berkata, biarpun Pahang tidak ber­ada pada prestasi sebenar permainan ekoran beberapa pemain utama skuad itu menghadapi masalah kecederaan, namun Pahang masih fokus memastikan kemena­ngan berpihak kepada mereka.

“Terdapat beberapa masalah yang membelenggu beberapa tonggak yang tidak berada di prestasi terbaik mereka termasuk Mohamadou Sumareh yang mengalami demam panas selain Matthew Davies yang tidak cukup latihan.

“Apa pun, saya berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan para pemain pada malam ini (kelmarin). Mereka berjaya menterjemahkan perancangan untuk me­lakukan sera­ngan terus menerus ke gawang JDT,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.

Pada perlawanan kelmarin, penyerang import Pahang kelahiran Brazil, Patrick Cruz muncul wira apabila berjaya melakukan hatrik sekali gus menempah tiket ke separuh akhir Piala FA 2018.

Mengulas mengenai taktikal yang diterapkan kepada anak-anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan, Dollah memberitahu, Pahang bermain tidak seperti pasukan lain yang mengambil keputusan untuk bertahan ketika bertandang ke stadium keramat Harimau Selatan itu.

“Sekiranya kami mengambil keputusan bermain secara bertahan tentunya ia dapat memberi ruang kepada JDT untuk mengintai peluang mencari gol.

“Apa yang dilakukan ialah melakukan serangan sambil mengenakan tekanan kepada bahagian tengah JDT sekali gus melumpuhkan bahagian kiri dan kanan pasukan lawan untuk mencipta serangan.

“Arahan tersebut berjaya diterjemahkan dengan baik oleh pemain tidak hanya untuk separuh masa pertama malah hingga tamat perlawanan,” ­katanya.

Berita Asal