Remezey intai penjaga gol utama

January 6, 2018

PENJAGA gol Pahang, Remezey Che Ros mengintai peluang untuk menggalas tugas sebagai penjaga gawang utama buat skuad Tok Gajah menjelang kempen Liga Malaysia 2018 yang akan membuka tirai Februari depan.

Sebagai rekod, Remezey pernah beraksi bersama Pahang selama empat musim bermula 2005 sebelum menyertai skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM), Shahzan Muda, kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) dan Pulau Pinang.

Pada saingan Liga Premier musim 2017, Remezey berjaya membantu pasukan Kuala Lumpur meraih kelayakan untuk bersaing dalam kempen Liga Super 2018.

Sehubungan itu, penjaga gawang berusia 36 tahun tersebut berjanji untuk memberi segala yang terbaik bagi memastikan Pahang mampu menjulang piala pada musim ini.

“Insya Allah, kalau diberi tugas penjaga gol utama, saya akan sedaya upaya memberi yang terbaik buat pasukan dan membantu Pahang untuk meraih kejuaraan,” katanya.

Mengulas peluang Pahang meraih kejuaraan pada musim ini, Remezey berkata, dia percaya Dollah Salleh selaku ketua jurulatih mampu menyediakan ramuan terbaik untuk kejayaan pasukan itu.

“Pada masa ini, saya mengikuti latihan bersama pasukan. Saya percaya, jurulatih mempunyai perancangan terbaik bagi memastikan Pahang menjadi juara.

“Saya juga percaya dengan kemampuan yang dimiliki dan berharap jurulatih memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tugas utama di posisi penjaga gol,” katanya.

Remezey ketika ini turut menjalani latihan bersama dua lagi penjaga gol, Helmi Eliza Elias dan Mohd. Wafieyuddin Mohd. Shamsudin sebelum pasukan itu memutuskan senarai kesebelasan utama yang akan beraksi pada musim ini.

Berita Asal.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features