Saiful Nizam lakar hatrik benam KL City

June 26, 2019

Hatrik Saiful Nizam Ali membolehkan Pahang Rangers melakarkan kemenangan kedua dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) menewaskan Kuala Lumpur City 4-3 di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan malam tadi.

Ketinggalan 0-2 pada suatu ketika di separuh masa pertama, pemain Pahang Rangers tidak menyerah kalah di hadapan penonton sendiri untuk bangkit di separuh masa kedua bagi mengumpul 6 mata selepas 2 perlawanan .

KL City FC nyata bukan satu lawan mudah apabila mendahului Pahang Rangers hingga minit ke 15 perlawanan dan selepas itu pasukan tuan rumah bangkit dari ketinggalan untuk menyamakan kedudukan kepada 2-2 sehingga tamat babak pertama.

Separuh masa kedua juga berlangsung sengit dengan KL City sekali lagi mendahului pada minit ke 28 melalui jaringan Al Haziq Adnan tetapi Saiful Nizam menceriakan tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua peribadi dalam perlawanan tersebut sekaligus jaringan penyamaan.

Ketika permainan berbaki beberapa minit untuk tamat, serangan bertali arus Pahang Rangers membuahkan hasil setelah Saiful melengkapkan hatrik beliau dan menjadikan kedudukan Pahang Rangers mendahului 4-3.

Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan untuk Pahang Rangers mencatat kemenangan kedua setelah menewaskan Kuala Lumpur di Shah Alam pada hari Ahad lepas.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(PM6)
Malaysia Cup
Penang State Stadium, BATU KAWAN