Saingan sengit Kumpulan D

July 31, 2018

Oleh : Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Saingan Kumpulan D bagi Piala Malaysia musim ini tetap menjanjikan pertembungan yang sengit sekalipun buat juara Piala FA, Pahang.

Diundi bersama juara 33 kali, Selangor, pasukan yang berjaya mara ke suku akhir musim lalu, PKNP FC dan juga Sabah, skuad Tok Gajah itu dilihat menjadi pasukan pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, pengendalinya, Dollah Salleh mengakui ia bukanlah peringkat kumpulan yang mudah buat anak buahnya sekali gus memberi amaran agar tidak memandang rendah kemampuan lawan.

“Saya jangka semua pasukan akan memberi tentangan yang sengit dan tiada pasukan yang mudah. Saya percaya pasukan yang layak ke saingan Piala Malaysia sudah tentu mahu memberikan yang terbaik.

“Berdepan Selangor, PKNP FC dan Sabah yang memiliki kekuatan tersendiri, sudah pasti Pahang perlu lebih bersedia dan dengan kepulangan beberapa pemain daripada kecederaan, situasi ini dapat membantu Pahang menjadi lebih mantap,” katanya pada sidang media selepas Majlis Undian Piala Malaysia, semalam.

Dalam masa sama, kejayaan merangkul Piala FA pada musim ini turut dijadikan azimat buat pasukan itu bagi memburu Piala Malaysia.

“Tidak dapat dinafikan kejayaan memenangi Piala FA itu membantu kami untuk lebih bersedia dan sudah pasti kami turut mengidamkan Piala Malaysia,” katanya.

Pahang akan membuka kempen Piala Malaysia bertemu Sabah di laman sendiri, Sabtu ini sebelum bertandang ke Stadium Shah Alam bagi aksi ‘ulangan’ final Piala FA 2018 bertemu Selangor, 11 Ogos ini.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features