‘Saya bukan ahli silap mata’

June 6, 2018

Oleh : Rosilawati Rosedi

Biarpun sering muncul sebagai wira pasukan dengan jaringan di minit-minit terakhir,pemain tengah muda Tok Gajah,Faisal Halim tidak mahu mendabik dada dengan prestasi terkininya.

Terbaru pemain berusia 20 tahun itu memastikan kemenangan pasukan tersebut selepas hampir pulang dengan satu mata berdepan PKNP FC,di Stadium Perak,Ipoh,Sabtu lalu dalam saingan Liga Super.

Dalam perlawanan tersebut,skuad kendalian Dollah Salleh itu meraih tiga mata selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas tuan rumah.

Faisal yang juga mesra dengan panggilan Mickey itu,menyifatkan dirinya bukan ahli silap mata selepas membantu Pahang dengan jaringan di saat-saat akhir.

Selain aksi Sabtu lalu,pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga mencetak jaringan pada masa kecederaan dalam saingan liga musim ini seperti yang dipersembahkan ketika menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 dan Melaka United (2-0).

“Tiada apa yang perlu diulas kerana kemenangan yang diraih ini adalah semangat kerja berpasukan walaupun dikejutkan gol seawal minit kedua oleh tuan rumah.

“Jaringan pendahuluan itu ternyata menyentap semangat kami untuk mendapatkan gol penyamaan dan ia hanya muncul pada separuh masa kedua perlawanan.

“Gol penyamaan yang disempurnakan Mohamadou Sumareh menaikkan semangat kami untuk bekerja keras dan hasilnya tiga mata yang diidamkan menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut mengakui kata-kata semangat yang diberikan pengendali pasukan,Dollah Salleh turut membantu meningkatkan prestasinya.

Ujarnya, walaupun hanya mengulangi nasihat sebelum turun sebagai pemain gantian, ia memberi motivasi untuk memastikan skuad Tok Gajah meraih kejayaan.

Setakat ini, Pahang menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 24 mata dengan ketinggalan lapan mata di belakang penaraju,Johor Darul Ta’zim(JDT) selepas mengharungi 13 perlawanan.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features