SMK Paya Besar teruja didatangi tetamu istimewa

April 11, 2017

Seramai hampir 1,000 warga Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar (SMKPB) pada hari ini berasa teruja apabila didatangi oleh seluruh skuad Liga Super Pahang dalam Program Jejak Juara yang berlangsung pada pagi tadi di perkarangan sekolah.

Program yang memberi peluang kepada pelajar untuk beramah mesra dengan pasukan ini turut dimeriahkan oleh kehadiran Penyelaras Program, Dato’ Seri Haji Abdul Hamid bin Mohd Nazahar, Pengurus pasukan Pahang Dato’ Che Nasir Saleh, barisan kejurulatihan dan para pemain.

Majlis dimulakan dengan upacara solat hajat di surau sekolah dan kemudiannya bersambung di padang dimana para pemain dan pelajar sama-sama menyanyikan lagu Negaraku, lagu Negeri Pahang dan seterunya ucapan alu-aluan oleh Pengetua sekolah YBhg. Datin Hajah Ezizah Hj Hashim dan akhirnya ucapan oleh Dato’ Seri Haji Abdul Hamid.

PHG ke SMKPB B

Skuad bolasepak SMKPB juga diberi penghargaan disarungkan jersi pasukan sebagai simbolik terpilih mewakili dan sekaligus membawa nama sekolah dalam pertandingan bolasepak yang akan disertai mereka pada tahun ini.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Abdul Hamid berharap agar kedatangan skuad TokGajah ke sekolah ini akan memberi semangat kepada pelajar selain mengumumkan sumbangan sebanyak RM4,000 oleh YAM Tengku Muda Pahang kepada pihak sekolah.

“Saya mengumumkan bahawa YAM Tengku Abdul Rahman ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Muda Pahang berkenan untuk menyumbangkan RM4,000 kepada pihak sekolah bagi menampung aktiviti sepanjang tahun ini.

“Baginda juga berharap kehadiran para pemain serta staf kejurulatihan ini dapat memberi motivasi kepada pelajar-pelajar SMK Paya Besar untuk terus berusaha dan jangan mudah mengalah serta kenal erti putus asa.

“Tidak lupa juga, baginda sentiasa mengingatkan untuk menyeru supaya kesemua penyokong dapat terus memberi sokongan padu kepada pasukan Pahang tidak kira ketika menang ataupun kalah.”

PHG ke SMKPB D

Pengurus pasukan Pahang, Dato’ Che Nasir Che Salleh menjelaskan bahawa program seperti ini adalah hasrat YM Tuanku Presiden untuk mendekatkan golongan muda kepada pasukan Liga Super Pahang dan SMK Paya Besar adalah sekolah yang bertuah untuk terpilih buat permulaan.

“Ini adalah hasrat YAM Tengku Presiden sendiri yang mahu mendekatkan golongan muda kepada pasukan yang sebelum ini hanya dapat menonton mereka di padang sahaja.

“Baginda sedar, golongan muda seperti ini perlu diberi dorongan dan sokongan supaya mereka tidak terheret ke aktiviti yang tidak berfaedah dan kita sentiasa menyayangi mereka.

“Selain itu, program ini juga sebagai penaik semangat kepada pemain supaya mereka sendiri menyaksikan sokongan yang tidak terbelah bahagi kepada mereka tidak kira golongan usia.

“Tuanku Presiden juga jika boleh mahu program ini dijalankan di lokasi-lokasi lain tetapi memandangkan  kekangan masa dan jadual pasukan menyebabkan buat masa ini SMK Paya Besar sahaja yang bertuah dipilih.

Dalam program ini juga, Puan Pengetua yang mewakili pihak sekolah menerima bola yang ditandatangani oleh kesemua pemain dan pegawai pasukan Pahang serta poster pasukan yang masing-masing disampaikan oleh Ketua Jurulatih, Dollah Salleh dan Dato’ Nasir sebagai tanda kenang-kenangan.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features