Biarpun anak-anak buah Tan Cheng Hoe dikejutkan dengan ketinggalan 0-1, namun mereka berjaya bangkit untuk melakar kemenangan keempat bermula dengan menumpaskan Bhutan 7-0 (1 April), Fiji 1-0 (5 Julai) dan Kemboja 3-1 pada 10 September.

Selepas bermula hambar pada babak pertama, kemasukan Sumareh, yang hanya melapor diri pada hari terakhir sesi latihan pasukan kebangsaan berjaya mengubah rentak perlawanan yang menyaksikan pasukan negara lebih banyak melancarkan serangan ke kubu lawan.

“Pada babak pertama, pemain bermula perlahan dan masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan padang. Mereka juga kurang keyakinan untuk memegang bola.

“Tapi pada babak kedua selepas melakukan beberapa pertukaran, mereka berjaya mempamerkan aksi sebenar dan memperolehi empat gol.

“Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki lagi namun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan permainan mereka pada babak kedua,” kata Cheng Hoe selepas perlawanan berakhir.

Dalam aksi tersebut, skuad negara terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pendahuluan tuan rumah menerusi Asela Madushan pada minit ke-29 dan menyaksikan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, percaturan Cheng Hoe dengan memasukkan Sumareh nyata memberi impak positif apabila empat gol berjaya dihasilkan.

Penyerang Pahang itu turut berjaya meledak dua gol pada minit ke-85 dan 90 manakala dua lagi jaringan masing-masing disumbangkan Norshahrul Idlan Talaha (m-65) dan Adam Nor Azlin (m-76).

Selepas ini Harimau Malaya akan menghadapi dua lagi perlawanan persahabatan bertemu Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat (16 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 November.

Aksi persahabatan tersebut digunakan oleh Malaysia untuk menghadapi Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018, yang mana pasukan negara diletak dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.