Sumareh tak sabar bantu Harimau Malaya

August 1, 2018

Oleh : Attirmidzie Rahman

KOTA BHARU: Penyerang import Pahang, Mohamadou Sumareh, menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi Malaysia apabila sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain kelahiran Gambia itu turut memaklumkan bahawa beliau sudah mendapat kerakyatan Malaysia dan kini dia hanya menunggu masa untuk dipanggil bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

“Itu perkara baik untuk saya dan memandangkan pihak FAM sudah memberi lampu hijau untuk saya menyertai pasukan negara, saya sudah bersedia.

“Apabila dapat tahu perkara ini saya amat gembira kerana ini peluang terbaik untuk membantu Malaysia namun saya masih menunggu dan lihat bagaimana keputusan daripada pihak kejurulatihan pasukan negara.

“Saya juga sudah memiliki kad pengenalan warganegara jadi segala keputusan lanjut hanya terserah mereka (skuad kebangsaan),  jika ditanya pada saya, saya akan menjawab saya sudah bersedia untuknya,” katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, FAM memberi kelulusan terhadap pemain import berusia 23 tahun itu bagi menyertai pasukan kebangsaan di bawah pengendali Tan Cheng Hoe.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan berdasarkan prosedur ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pemain yang menetap lebih lima tahun dan memegang pasport antarabangsa sesebuah negara boleh menyertai pasukan kebangsaan negara terbabit.

Sementara itu, Jurulatih Pahang, Dollah Salleh ketika mengulas mengenainya berkata dia secara peribadi menyokong penuh jika tonggak utamanya itu beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“Itu yang kita harapkan dan dia (Sumareh) sendiri sudah tidak sabar menunggu untuk bermain dengan skuad negara.

“Secara peribadi saya menyambut baik serta berharap benda itu berlaku dan saya rasa berkemungkinan besar berlaku kerana ia dapat membantu memperkuatkan lagi skuad negara kita,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features