Tiada istilah rehat buat Pahang

July 12, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak mahu pemainnya bersikap sambil lewa dalam empat baki aksi Liga Super.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, biarpun kejuaraan Liga Super sudah terlepas, ia tidak bermakna anak buahnya bermain di bawah prestasi sebenar.

“Selepas muncul juara Piala FA, pemain tidak boleh bersikap sambil lewa kerana saya tidak mahu pemain  ‘berehat’ kerana mereka perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan,” kata Dollah.

“Terlepas trofi Liga Super bukannya alasan untuk mereka tidak bermain pada tahap terbaik kerana komitmen terhadap pasukan penting untuk meletakkan pasukan pada prestasi terbaik.

“Mungkin mereka anggap perebutan tempat kedua dan ketiga tidak bermakna. Tapi, mereka perlu fokus dalam empat baki perlawanan untuk mengekalkan prestasi.”

Selepas 18 perlawanan, skuad Tok Gajah menduduki tangga kelima liga dan akan bertemu Perak, Sabtu ini, diikuti Melaka United pada 18 Julai, PKNS FC (21 Julai) dan Kelantan (28 Julai).

Mengulas kegagalan mengutip tiga mata di laman sendiri, Dollah berkata, faktor keletihan dan ketiadaan empat pemain utama yang cedera dan digantung perlawanan menjejaskan prestasi pasukan.

“Saya akui persembahan pasukan jauh berbeza selepas final Piala FA. Faktor keletihan dan ketiadaan beberapa pemain menjejaskan rentak permaian tapi ia bukannya alasan.

“Segalanya serba tidak menjadi terutama separuh masa pertama dan babak kedua kita cuba bangkit tapi pemain gagal mencipta banyak peluang untuk menjaringkna gol.

“Namun, saya juga tidak boleh paksa pemain kerana mereka sudah memberikan yang terbaik tetapi gagal untuk menewaskan PKNP,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features