Tiket perlawanan akhir mula dijual Rabu

July 3, 2018

Tiket perlawanan Akhir bagi perlawanan Piala FA 2018 diantara Selangor dan Pahang akan mula dijual kepada peminat bermula pada Rabu, 4 Julai 2018 menurut MFL dalam sesi sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan bagi Final Shopee Piala FA Malaysia 2018 semalam.

Setiap pasukan akan menerima sebanyak 30,000 keping peruntukan tiket untuk dewasa manakala 750 keping tiket untuk kanak-kanak dan akan dijual di negeri masing-masing.

Bagi pasukan Pahang, tiket akan dijual di dua lokasi iaitu di Stadium Darul Makmur, Kuantan dan juga di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh pada hari Rabu 4 Julai 2018 bermula 9.30 pagi.

Pembelian juga boleh dilakukan secara talian apabila sebanyak 18,000 keping tiket dewasa dan 500 tiket kanak-kanak diperuntukkan iaitu melalui laman sesawang www.shopee.com.my dan juga www.tickethotline.com.my.

Pahang akan bertemu Selangor di perlawanan Akhir Piala FA 2018 setelah menewaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir pada hujung minggu lepas.

Selangor terlebih dahulu menewaskan PKNS FC dengan agregat 5-1 manakala Pahang menewaskan satu lagi pasukan kelab PKNP FC dengan agregat 3-2.

Perlawanan akhir akan dilangsungkan pada hari Sabtu, 7 Julai 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan KL.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features