Tocang tekad tebus duka

July 3, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Walaupun sudah lebih setahun berlalu, pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli mengakui masih sukar melupakan episod duka apabila skuadnya tewas kepada Kedah pada aksi final Piala FA musim lalu.

Pemain berumur 28 tahun itu berkata, kekalahan tipis 2-3 kepada Helang Merah begitu perit selepas kali terakhir skuad Tok Gajah menjulang piala berprestij itu pada 2014.

Justeru, dia bersama rakan sepasukan akan memastikan misi menebus kekecewaan itu dapat dilakukan apabila bertemu Selangor pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

“Sebagai pemain yang beraksi pada final Piala FA musim lalu, saya tidak mahu episod sama berulang dan menimpa skuad Tok Gajah musim ini.

“Berada di pentas final yang menjadi misi utama pasukan musim ini sudah tercapai dan kami perlu menamatkannya dengan menjulang piala prestij ini.

“Kami boleh melakukannya kerana pada masa sama juga akan menebus kekecewaan musim lalu,” kata pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu.

Namun, Mohd Faisal atau mesra dipanggil Tocang mengakui skuad Tok Gajah terutama barisan pertahanan perlu bekerja keras kerana jentera serangan Selangor kini berada dalam prestasi terbaik.

Katanya, kemenangan Red Giants 5-1 secara agregat ke atas PKNS FC sudah membuktikan jentera serangan lawan amat berbisa.

“Saya lihat kekuatan utama Selangor adalah penyudah tajam menerusi penyerangnya, Rufino Segovia. Kami perlu mengawasi pergerakannya untuk memastikan gawang tidak dibolosi.

“Pada masa sama, rekod Pahang dengan Red Giants juga seimbang dan perlu bekerja keras untuk menyekat lawan.

“Ia dapat dilihat pada aksi Liga Super, 26 Jun lalu apabila kami sekadar seri 1-1 di Kuantan. Justeru, kami perlu menggandakan asakan dan pastikan kubu lebih kebal sekiranya berhajat menjulang trofi berprestij itu,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features