Tok Gajah hilang empat tonggak

July 10, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Juara Piala FA, Pahang mengesahkan empat pemain utama skuad itu tidak beraksi apabila melayan kunjungan PKNP FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Empat pemain itu adalah kapten pasukan Matthew Davies, Patrick Cruz, Mohd Faisal Rosli dan Muslim Ahmad yang digantung perlawanan dan mengalami kecederaan.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata ketiadaan empat pemain itu amat dirasai selepas mereka membantu Pahang menjulang Piala FA.

“Namun, saya percaya aura Piala FA akan membantu Pahang untuk memastikan kemenangan sekali gus membantu meraih tiga mata dan memperbaiki kedudukan dalam liga.

“Sudah pasti kami akan pastikan PKNP akan pulang hampa walaupun tanpa empat pemain utama yang membantu Pahang menjulang Piala FA buat kali ketiga.

“Kemenangan juga penting kerana kami mahu menduduki tempat kedua dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya.

Ditanya pertemuan dengan PKNP malam esok, Dollah mahu anak buahnya dapat bermain dengan mempamerkan persembahan menyakinkan.

Katanya, kejayaan menewaskan Selangor 2-0 pada final Piala FA perlu dijadikan pencetus motivasi buat pasukan selepas menghadapi pelbagai cabaran terutama masalah kecederaan.

“Saya percaya dengan komitmen semua pemain dan mereka yang disenaraikan pada pertemuan dengan PKNP diharap dapat membantu mengutip tiga mata.

“Saya juga menjangkakan PKNP akan memberi saingan sengit kerana mereka sudah pasti mahu beraksi dalam kempen Piala Malaysia musim ini,” katanya.

Selepas 17 perlawanan, Pahang menduduki tangga keempat liga dengan mengutip 30 mata, di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 44 mata, Perak (31 mata) dan Kedah (30 mata).

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features