Tok Gajah hormati kredibiliti Lang Merah

May 4, 2018

Tiada apa yang melegakan pengendali Pahang, Dollah Salleh, ketika ini selain melihat dua tonggak utamanya, Matthew Davies dan Safuwan Baharudin, yang kembali cergas untuk bersama Pahang menjelang aksi dengan Kedah di Stadium Darulmakmur, esok.

Pahang kekal konsisten dengan kemenangan mereka akhir-akhir ini tanpa kelibat Davies dan Safuwan.

Begitupun, keutamaan tetap milik kedua pemain itu sebaik dikhabarkan cergas untuk aksi malam esok.

Paling lega, sudah pasti Dollah yang melihat kembalinya semula kedua-dua pemain itu akan memantapkan lagi prestasi Tok Gajah.

“Kalau dapat Matthew dan Safuwan semula, kami boleh memantapkan lagi pasukan, khususnya bertemu Kedah. Kedah sudah sinonim sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Malaysia.

“Jadi, saya berharap sangat kedua-dua pemain ini dapat beraksi,” katanya.

Jika sebelum ini Dollah rungsing dengan situasi Pahang yang kehilangan ramai pemain akibat kecederaan, kini hanya tinggal penyerang, Norshahrul Idlan Talaha, sahaja yang masih dalam proses pemulihan.

Bagi pertembungan dengan Lang Merah nanti, Dollah tetap melihat skuad kendalian Nidzam Adzha Yusof sebagai merbahaya dan mampu membuatkan Pahang gigit jari andai tidak berhati-hati.

“Tiap-tiap perlawanan berbeza. Kita tidak boleh ambil kira perkara yang sama.

“Saya percaya Kedah bukan pasukan yang mudah untuk diperkotak-katikkan.

“Seperti yang saya cakap, mereka adalah salah sebuah pasukan terkuat di Malaysia,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features