Tok Gajah sedia korbankan tangga kedua

July 22, 2018

Akibat krisis kecederaan berterusan dan mahu memberi tumpuan kepada Piala Malaysia, jurulatih Pahang, Dollah Salleh, bersedia untuk melupakan hajat mengejar  tempat kedua Liga Super dengan merehatkan ramai pemain utama menjelang aksi terakhir menentang Kelantan, Ahad depan.

Kemenangan 1-0 ke atas PKNS FC malam tadi hasil jaringan tunggal Issey Nakajima pada minit ke-26 seperti kurang bererti buat Dollah apabila pemain itu terpaksa dikeluarkan dua minit kemudian ekoran masalah hamstring.

Ketiadaan Nakajima bermakna senarai kecederaan barisan Tok Gajah kian meruncing selepas Patrick Cruz, Matthew Davies dan Afif Amirudin mengalami nasib serupa.

Walaupun jika ada kemungkinan mana-mana pemain itu boleh diturunkan dalam aksi terakhir, Dollah enggan mengambil risiko kerana sedar majoriti pemain utamanya begitu keletihan.

“Saya terpaksa berkorban bagi saingan Piala Malaysia.

“Jika saya masih bergantung kepada pemain tercedera, saya akan menanggung risiko lebih besar dalam Piala Malaysia nanti,” katanya.

Skuad Semut Merah pula, menurut pengendalinya, Datuk K. Rajagobal, tidak mahu menjadikan ketiadaan dua tonggak utama, Rafael Ramazotti dan Romel Oswaldo, sebagai punca mereka gagal membawa pulang sebarang mata dari Kuantan.

Bagi beliau, ini menjadi platform terbaik buat dirinya mempertaruhkan kemampuan pemain lain jika berlaku situasi sama dalam perlawanan akan datang.

“Walaupun saya tahu Romel bermain dengan baik apabila bergandingan dengan K. Gurusamy kebelakangan ini manakala Ramazotti pula memiliki kelebihan tersendiri,  saya harus beri pujian kepada pemain malam ini (tadi).

“Situasi ini kemungkinan boleh terjadi dalam perlawanan akan datang,” kata Rajagobal.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features