TokGajah disambar Lang Merah di Darulaman

February 12, 2017

Skuad TokGajah yang menang dua perlawanan berturut-turut sebelum gagal memberi tentangan sengit kepada Skuad Lang Merah seperti dijangka apabila tewas dengan margin besar 1-4 dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman semalam.

Memberi kepercayaan kepada barisan yang sama seperti menang di Kuching, Dollah Salleh tetap menampilkan dua tonggak Fransisco Insa dan Matthew Davies walaupun diberitakan mengalami kecederaan sebelum sepak mula.

35

Bermula dengan permainan yang seimbang bagi kedua-dua pihak apabila para pemain rancak berbalas serangan dengan Pahang memperolehi pelbagai peluang terhidang tetapi gagal diterjemahkan ke gol oleh barisan serangan Pahang.

Apabila permainan seolah-olah akan tamat dengan kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan di separuh masa pertama, Baddrol Bakhtiar menggamatkan sorakan penyokong di Darulaman apabila menjaringkan gol pertama Kedah apabila mudah merembat melepasi Azraie setelah menerima hantaran dari Liridon.

Bersambung babak kedua, Pahang cuba menggandakan asakan untuk mencari gol pernyamaan tetapi sebaliknya Kedah berjaya menambah gol kedua melalui Ken Ilso yang melepasi perangkap offside pertahanan Pahang menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke 67.

Dollah Salleh kemudian melakukan pertukaran dengan memasukkan Ashaari Shamsuddin menggantikan Zaharulnizam bagi menambah sengat serangan yang kelihatan agak buntu mencari gol.

16

25 ribu penonton Kedah di Stadium Darulaman kemudiannya kembali gamat setelah pemain gantian Farhan Roslan yang menggantikan Syazwan Zainon sebelum itu membuktikan percaturan Tan Chee Ho tepat apabila menambah derita Pahang dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke 75 hasil sepakan sudut yang diambil Sandro.

Pahang bagaimanapun mendapat gol saguhati pada minit ke 89 melalui Matheus yang meloloskan diri dari kawalan pertahanan Kedah setelah mendapat umpanan dari Mohamadou Sumareh hasil dari gerakan bersama Norazam Azih..

Ken Ilso kemudiannya menewaskan Azraie untuk kali kedua untuk gol keempat bagi Kedah dalam perlawanan ini sejurus sebelum pengadil meniupkan wisel penamat menjadikan Pahang mengalami kekalahan pertama untuk musim ini.

Kemenangan ini membuatkan Kedah mengambil alih takhta Liga Super dengan Pahang tergelincir di tangga kedua dengan perbezaan satu mata.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features