Undian sukar untuk Pahang

May 22, 2017

Pahang bakal menghadapi tugas sukar apabila diundi dengan pendahulu Liga Premier, N.Sembilan dan dua pasukan berstatus kelab dalam undian TM Piala Malaysia yang dijalankan secara langsung di rancangan Scoreboard Extratime di saluran Media Prima TV9 sebentar tadi.

Undian tersebut yang bermula jam 11.30 malam itu dikendalikan oleh Tabah Syazwan dan dibantu dengan dua orang wakil Telekom Malaysia berserta bekas pemain kebangsaan Ahmad Shahrul Azhar dan Penolong Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Selain Negeri Sembilan, Pahang juga akan menghadapi dua pasukan berstatus kelab dari Terengganu, T Team FC dan juga dari Perak, PKNP FC yang masing-masing layak ke Piala Malaysia sebagai pasukan ke 8 Liga Super dan pasukan ketiga Liga Premier.

TM PM2017 Draw Table

TTeam FC yang dikendalikan oleh Rahmad Darmawan pernah menewaskan Kedah 5-0 semasa saingan Liga Super sebelum ini manakala PKNP FC adalah pasukan yang dibarisi pemain muda Perak kendalian Abu Bakar Fadzim dan telah berjaya mara ke suku akhir Piala FA walaupun pertama kali beraksi di dalam peringkat tertinggi.

Telekom Malaysia masih lagi menjadi penaja utama kejohanan yang masuk ke edisi 91 ini dan sepak mula akan dijadualkan pada 4 dan 5 Julai 2017 manakala perlawanan akhir dijangka akan dilangsungkan pada 28 Oktober 2017.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features